Assalamualaikum warohmatullaahi wabarokaatuh
Alhamdulillahi robbil a'lamin wassholaatu wasalamu a'la asyrofil mursaliin sayidina muhammadin wa a'la alihii washohbihi ajmaii'n
Saudara Saiful Bahri,Pertamanya saya ingin merakamkan tahniah kepada saudara atas keprihatinan saudara terhadap isu-isu membabitkan halal haram sumber pendapatan atau perniagaan seumpama ini.Secara ringkas perniagaan MLM ScoreA dianalisis dari dua perspektif:
a. Produk
b. Pelan pemasaran
Untuk makluman saudara, saya serta YBhg Ust. Engku Ahmad Fadzil Engku Ali (UIAM) telah membuat kajian - berdasarkan kapasiti kami sebagai Penasihat Syariah Kenshido untuk produk ScoreA - ke atas produk berkenaan. Memang kajian tersebut merangkumi keseluruhan skop pelan pemasaran termasuk pakej-pakej yang saudara sebutkan.
Dari aspek produk, penelitian yang dilakukan tidak mendapati sebarang isu syariah di sini.
Dari aspek pelan pemasaran pula (yang menjadi isu utama dalam skim berasaskan MLM), secara ringkas, ia dianalisis di bawah konsep fiqh yang dikenali sebagai al-ju'alah yang bermaksud upah berdasarkan hasil kerja (result oriented).
Cuma ju'alah yang diaplikasikan di sini agak berbeza dengan akad tersebut yang dibincangkan oleh para fuqaha' dalam kitab-kitab klasik. Ini kerana dalam konteks ScoreA, ju'alah yang dilakukan adalah lebih berstruktur, di mana terdapat kaedah-kaedah serta syarat-syarat tertentu yang ditetapkan untuk melayakkan seseorang pengedar (distributor) memperolehi ganjaran/upahnya.
Contoh akad ju'alah adalah: A membuat pengumuman: "Siapa yang membawa kepada saya kereta saya yang hilang model ..., saya akan berikan kepadanya RM10,000".
Jika B datang dengan kereta berkenaan dia berhak mendapat ganjaran tersebut dan A bertanggungjawab untuk membayarnya seperti yang telah dijanjikan.
Katakanlah ada seorang lain, C, telah mengetahui pengumuman tersebut dan berusaha sedaya upaya (mengeluarkan belanja, tenaga dsb) untuk mengesan serta mendapatkan kereta tersebut, tetapi tidak mendapatnya, dia tidak berhak kepada ganjaran yang dijanjikan.
Katakan B, sebaliknya, kebetulan lalu di satu tempat dan terserempak dengan kereta A. Tanpa susah payah, B telah berjaya melakukan apa yang dikehendaki oleh A. Justeru, B berhak terhadap upah/ganjaran tadi, walaupun dia mungkin tidak mengeluarkan sesen pun perbelanjaan untuk hasil tersebut.
Ini kerana ju'alah adalah berorientasikan hasil, berbanding ijarah yang berorientasikan kerja. Seorang yang melakukan sesuatu kerja (tidak semestinya menghasilkan sesuatu output) telah berhak ke atas upah yang berkenaan jika kerja tersebut yang menjadi subjek dalam akad ijarahnya.
Memang tidak dinafikan, terdapat banyak persamaan antara MLM tulen dengan skim piramid. Namun ini tidak semestinya bermakna bahawa semua skim MLM tidak bertepatan dengan syara'. Antara kaedah untuk mengetahui sama ada sesuatu skim itu MLM tulen atau sebaliknya adalah dengan melakukan dua ujian:
1. Jika hanya produk jualan sahaja ditawarkan tanpa skim pemasaran tersebut, adakah pembeli masih ingin membeli produk tersebut?
2. Jika soalan di atas dijawab positif, adakah pembeli masih ingin membeli produk tersebut pada harga yang ditawarkan?
Dalam kes ScoreA, produk yang dijual adalah produk pendidikan bersifat maya (virtual). Seperti yang telah dijelaskan tadi, dari segi produk, nampaknya tiada sebarang masalah. Cuma timbul persoalan dari segi harga. Sekali lagi, dalam menilai produk seumpama ini, kesukaran timbul kerana tiada penanda aras (benchmark) tertentu yang boleh digunapakai untuk menentukan sama ada terdapat ghabn/ghubn yang besar (ghabnun faahish) dari segi perbezaan harga jualan dengan harga pasaran atau pun tidak.
Jika berbeza sekalipun, pada dasarnya tiada ketetapan daripada syara' tentang harga sesuatu barang. Ini berkaitan dengan persoalan berapakah magnitud keuntungan yang boleh diambil oleh seorang penjual. Sekali lagi, tiada had ditentukan oleh syara'.
Untuk makluman saudara, saya dan Ust Engku masih dalam proses memperkemaskan laporan akhir kami yang insyaAllah akan boleh diakses secara umum tidak lama lagi.
Saya tidak nafikan, kadang-kadang terdapat sebilangan individu yang terlibat sebagai pengedar ScoreA memperbesarkan kelulusan yang kami berikan. Sebab itulah, jika saudara teliti, kami telah menyatakan beberapa kekangan terhadap kelulusan yang diberikan.
Sekian. Semoga ini menjawab persoalan saudara.
Wassalamualaikum warohmatullaahi wabarokaatuh
AZIZI
From:sEMAILDIPADAMz[at] gmail.com [mailto:sEMAILDIPADAMz[at] On Behalf Of Mr. Saiful
Sent: 11 May 2010 04:40 am
To:eEMAILDIPADAMe[at] iiu.edu.my; aEMAILDIPADAMi[at] um.edu.my
Cc:sEMAILDIPADAMi[at] saifulbahri.net
Subject: Ingin bertanya mengenai produk Kenshido ScoreA
[Quoted text hidden] No virus found in this incoming message.
Checked by AVG - www.avg.com
Version: 9.0.819 / Virus Database: 271.1.1/2867 - Release Date: 05/11/10 14:26:00 |
Oktober 23rd, 2011 - 00:17
Assalamualaikum.. saya faham penjualan produk pendidikan itu adalah halal. Dan apabila kita mencari orang bawah kita utk mengembangkan produk pendidikan ini, kita diberi bonus ataupun komisyen hasil hasil usaha kita itu. Apa yang menimbulkan keraguan ialah apabila kita mendapat wang secara automatik apabila orang bawah kita berjaya mencari orang yang bakal menjual produk itu seterusnya. Bukankah ini seperti wang bunga ataupun interest money? Bukankah kita orang islam tidak boleh makan dari hasil wang bunga ini? (maknanya kita tidak lagi berusaha, tapi hanya dapat hasil usaha orang bawah kita) harap dpt beri penjelasan.
November 15th, 2011 - 14:05
Waalaikumussalam,
Allah berfirman di dalam Al-Quran: “… maka bertanyalah kamu kepada yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui” An-Nahl: 43.
Jika saya ingin menerangkan apakah itu riba, berapa jenis riba, bagaimanakah satu-satu transaksi tergolong dalam kategori riba, tidak cukup untuk saya gunakan ruang ini untuk mengulas. Saya cadangkan Nabilah melawat laman web yang berkenaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai riba. Saya cadangkan http://www.zaharuddin.net/ berdasarkan firman Allah dalam ayat di atas kerana Ustaz Zaharuddin mempunyai kapasiti dalam mengulas isu riba. Terdapat beberapa ustaz lain yang boleh dijadikan rujukan tetapi mereka tiada laman web untuk dihubungi.
Berbalik semula kepada isu perniagaan ini, juga amat sukar untuk diterangkan dengan jelas kerana banyak perkara perlu difahami dahulu dan banyak perkara perlu diambil kira. Saya memegang pada ayat di atas, oleh kerana perniagaan ini telah disahkan patuh syariah dari segi produk dan sistem pemasaran dan perniagaannya oleh penasihat syariah yang berkapasiti dalam bidang ini dan juga bidang kewangan, siapalah kita untuk mempertikaikan. Ini adalah ijtihad mereka sebagai seorang yang berilmu.
Nabilah pun telah membaca artikel Jawapan Panel Syariah Score A Programme, kertas kerja telah dikeluarkan oleh penasihat syariah untuk menjawab isu-isu yang selalu dibangkitkan oleh orang awam mengenai perniagaan ini khususnya Kenshido Score A Programme. Sekian.